(Gambar hiasan) Penumpang Bas Smart Selangor berbaris dan mengenakan pelitup muka sebelum menaiki kenderaan itu di Seksyen 13, Shah Alam pada 2 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pakej Kita Selangor: 17,000 pesakit Covid-19 naik bas percuma

SHAH ALAM, 4 APRIL: Seramai 17,233 pesakit Covid-19 berisiko rendah menggunakan Bas Smart Selangor ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang setakat 29 Mac.

Dalam laporan mingguan kemajuan 20 inisiatif Pakej Kita Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) menyebut bilangan itu meningkat berbanding 15,542 orang pada minggu sebelumnya.

“Bas Smart Selangor melakukan 1,452 perjalanan bagi membawa 17,233 pesakit terbabit,” menurut laporan tersebut.

Bas itu disediakan Kerajaan Selangor bagi memudahkan Kementerian Kesihatan membawa pesakit ke pusat
rawatan susulan peningkatan kes sekitar awal tahun ini.

Pengasuh Adibah Nor Mokles, 32, melakukan aktiviti membaca bersama kanak-kanak ketika pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain itu, Upen juga menyebut seramai 450 kanak-kanak daripada 342 keluarga petugas hadapan ditempatkan di 12 pusat jagaan yang disediakan Kerajaan Negeri.

“Inisiatif berkenaan turut membabitkan penyertaan 13 sukarelawan dan perbelanjaan dikeluarkan setakat ini berjumlah RM597,050,” kata kenyataan.

Setakat ini, tujuh daripada 20 inisiatif Pakej Kita Selangor yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berjaya diselesaikan.

Berikut kemajuan lain dalam pakej berkenaan:

  • Individu diperiksa dalam Saringan Komuniti percuma Covid-19 meningkat 8,064 orang membabitkan perbelanjaan RM749,952
  • Seramai 69,069 menerima manfaat peruntukan khas wakil rakyat
  • Penerima bantuan makanan kepada Orang Asli meningkat kepada 2,045 orang setakat 29 Mac berbanding 742 pada minggu sebelumnya
  • Yayasan Hijrah Selangor memproses 49 permohonan kumpulan pertama bagi program Pendigitalan
    e-Pembekal Peruncit dan Makro
  • Sebanyak 67 lagi permohonan Skim Niaga Darul Ehsan diluluskan membabitkan pembiayaan RM277,000
  • Seramai 3,004 penduduk di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang menerima bakul makanan bernilai
    RM50 setiap satu
  • Portal Pusat Tuisyen Rakyat Selangor memberi manfaat kepada 31,715 individu
  • Kutipan Tabung Covid-19 kekal RM2.6 juta sehingga 29 Mac
  • Seramai 2,635 penghuni Projek Perumahan Rakyat menerima kupon pembelian barangan keperluan asas
  • Kerajaan sudah menyerahkan bantuan baja kompos seberat 128 tan kepada 912 petani

Pengarang :