Air pancuran berirama pelbagai warna menghidupkan suasana di Tasik Shah Alam pada waktu malam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pancuran air Cahaya Ramadan, satu lagi tarikan di Shah Alam

SHAH ALAM, 17 APRIL: Satu lagi tarikan terbaharu di Shah Alam dibuka kepada orang ramai sepanjang Ramadan mulai semalam hingga 12 Mei.

Dato’ Menteri Besar berkata pertunjukan pancuran air berirama Cahaya Ramadan berlangsung pada Jumaat, Sabtu dan Ahad di Laman Budaya.

“Sesi bermula jam 10 hingga 11.15 malam,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengajak pengunjung melihat persembahan pancuran air bertemakan lagu ketuhanan dan kerohanian bagi menyemarak suasana Ramadan.

“Orang ramai diingatkan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) apabila berada di tempat awam seperti melakukan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” tulisnya di Facebook.

Pada 28 Mac, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah merasmikan dua tarikan baharu di Taman Tasik Shah Alam.

Selain Laman Budaya Musical Fountain, turut dirasmikan luncur keluang (flying fox) di laluan Zip Line Shah Alam yang dibina sepanjang 240 meter merentasi tasik.

Projek yang menelan belanja RM1.96 juta sebahagian usaha MBSA untuk memperkasa kembali sektor pelancongan di Shah Alam.

 


Pengarang :