Petugas Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat membuat ujian saringan Covid-19 kepada pelajar SK Sungai Manggis dan SMK Sungai Manggis secara pandu lalu di kedua-dua sekolah berkenaan pada 17 Oktober 2020. Foto PKD Kuala Langat
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pantau jangkitan Covid-19 di sekolah, Selangor ambil tindakan lanjut

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kerajaan Negeri akan memantau jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga sekolah sepanjang minggu ini sebelum mengambil tindakan lanjut.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya akan mengesan punca jangkitan selain meneliti potensi perebakan kes.

“Dua minggu lepas ada kes melibatkan sekolah. Jadi, kita panggil mesyuarat khas bersama wakil sekolah berasrama penuh serta Kementerian Pendidikan.

“Ketika itu kita bincangkan mengenai operasi terutama berhubung pembukaan sepenuhnya pada 6 April lalu kerana bimbang keselamatan anak-anak dan guru,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya 30 hingga 40 peratus guru terdedah bahaya wabak termasuk kematian memandangkan mereka menghidap penyakit kronik.

“Jangkitan tempat kerja juga masih dikesan. Dua hari lepas ada peningkatan di Sepang manakala kawasan lain masih dalam kawalan,” katanya.

Sejak 8 April lalu sehingga semalam, jangkitan wabak itu terus meningkat di Selangor dengan 294 kes pada Rabu, diikuti Khamis (374), Jumaat (403), Sabtu (415) dan Ahad (535).


Pengarang :