AGENDAEKONOMINASIONAL

Pasaran getah dijangka niaga dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan berjajaran kecil dengan kecenderungan menurun minggu depan berikutan lonjakan kes baharu Covid-19 di peringkat global.

Bekas presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata ketika kerajaan di kebanyakan negara mengenakan sekatan perjalanan bagi membendung penularan Covid-19, proses pemulihan terhadap perniagaan dan sekolah pastinya akan terjejas.

“Malah, pelaksanaan vaksin agak perlahan dan tidak menggalakkan untuk semuanya kembali pulih seperti biasa.

“Jadi, kami menjangkakan satu lagi minggu yang lembap untuk pasaran getah dengan permintaan yang sekali-sekala,” katanya kepada Bernama.

Katanya, peniaga mungkin melakukan dagangan berhati-hati minggu depan dengan penggunaan yang masih perlahan.

Bagaimanapun Low berkata, beliau yakin ia tidak akan menyebabkan turun naik pasaran. Sebaliknya, beliau berkata harga getah mungkin akan terus stabil berikutan keadaan lebihan stok belum dapat dilihat buat masa ini.

Bagi minggu yang baharu berakhir, pasaran getah tempatan dipengaruhi terutamanya oleh pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah, pengeluaran automotif global, serta kebimbangan terhadap lonjakan kes Covid-19 di Amerika Syarikat dan Eropah.

Berasaskan mingguan, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 turun 17 sen kepada 673.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal jatuh 22 sen kepada 656 sen sekilogram.

Pada 5 petang Khamis, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 673.5 sen sekilogram berbanding 699 sen sekilogram pada Jumaat lepas, manakala susu getah pukal adalah 681 sen sekilogram berbanding 651 sen sekilogram baru-baru ini.

Pasaran getah Malaysia ditutup semalam sempena cuti Good Friday seiring pasaran getah antarabangsa dan akan kembali meneruskan dagangan pada Isnin.

– BERNAMA

 


Pengarang :