Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) menyerahkan sumbangan makanan secara pandu lalu kepada pemandu teksi dan bas sekolah menerusi Program Bingkisan Mesra Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pemandu teksi: ‘Sukar dapat RM30 sehari, bantuan makanan RM100 sangat bermakna’

SHAH ALAM, 2 APRIL: Bantuan makanan bernilai RM100 amat bermakna kepada golongan terjejas ketika pandemik Covid-19 yang berdepan kesukaran walaupun untuk memperoleh pulangan RM30 sehari.

Pengerusi persatuan pengusaha dan pemandu kereta sewa, teksi dan limosim Pelabuhan Klang berkata sumbangan itu membuktikan Kerajaan Negeri prihatin terhadap nasib menimpa mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Pemandu Kereta Sewa, Teksi dan Limosim Pelabuhan Klang, Jamil Yusop. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) kerana prihatin dengan nasib pekerja dalam sektor pengangkutan awam. Diharap ada penambahbaikan terhadap industri ini pada masa akan datang.

“Ini kerana pendapatan bulanan semasa PKP agak terjejas. Bayangkan sebelum pandemik, boleh raih sehingga RM200 sehari tetapi sekarang agak susah walaupun bekerja seperti biasa dari jam 8 pagi hingga 6 petang,” kata Jamil Yusop, 59, ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu, bapa kepada lapan anak itu antara 7,900 pemandu teksi dan bas mendapat bantuan menerusi Pakej Kita Selangor yang diberi secara pandu lalu di perkarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Pemandu bas sekolah, Ang Cheng Loon. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, pemandu bas sekolah, Ang Cheng Loon, 50, bangga dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri yang merangka pelbagai program bantuan khusus untuk golongan terkesan PKP.

Mesra disapa Aunty Loon dalam kalangan murid sekolah, beliau berkata walaupun mempunyai wang simpanan untuk melalui rintangan pandemik, namun bantuan itu sedikit sebanyak menjimatkan kos belanja dapur.

“Hampir setahun saya dan suami hilang punca pendapatan berikutan penutupan sekolah yang nyata menjejaskan operasi kami kerana bergantung sepenuhnya dengan pekerjaan ini untuk tampung keperluan kami lima beranak.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana tidak meminggirkan mana-mana individu dalam pengagihan bantuan. Saya sangat berharap pandemik tidak berterusan dalam tempoh panjang dan semua orang dapat jalani rutin harian seperti dulu,” katanya yang menceburi sektor itu sejak enam tahun lalu.


Pengarang :