Pelajar orang kelainan upaya (OKU) Ahmad Zubaidi Helmi, 19, (kanan) yang ditemani ibu Normah Harun, 46, mengikuti sesi PdPR di Kampung Mengabang Lekor pada 8 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pembangkang kesal KPM gagal persiap PdPR

SHAH ALAM, 24 APRIL: Pakatan pembangkang kesal Kerajaan Persekutuan gagal mempersiapkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) apabila sekolah ditutup akibat Covid-19.

Sejumlah ahli parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata keadaan itu menyebabkan pihak pengurusan sekolah hilang arah dan punca apabila berlaku peningkatan kes.

“Sebelum ini sekolah dibuka secara tergesa-gesa tanpa penerangan jelas mengenai tatacara operasi piawai (SOP) sekiranya berdepan kes.

“Arahan hanya dibuat pada 21 April bahawa sekolah perlu ditutup sekurang-kurangnya dua hari sedangkan beberapa kes sebelumnya sekolah memutuskan menutup kelas terjejas sahaja,” kata mereka menerusi kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik yang juga Pengerusi jawatankuasa pendidikan PAKATAN.

Turut menyokong Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Tampin Hasan Baharom, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan.

Mereka juga menggesa Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin dan timbalan (Muslimin Yahya serta Mah Hang Soon) segera berundur kerana gagal melaksanakan tugas.

“Kemarahan rakyat terutamanya guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa terhadap kerajaan serta KPM dapat dilihat di peringkat bawahan mahu pun media sosial,” katanya.

Mereka juga membangkitkan isu pemberian 150,000 komputer riba untuk PdPR yang masih tidak kelihatan.


Pengarang :