Selangorkini
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama penerima kunci rumah, Rosmalini Salleh, 41, (dua kiri) dan anaknya, Nor Ellia Natsha Jasruzan, 18, (kiri) selepas merasmikan majlis penyerahan kunci Rumah Selangorku di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 10 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA SELANGOR

Pembeli Rumah SelangorKu syukur miliki rumah selesa

HULU SELANGOR, 10 APRIL: Pembeli Rumah SelangorKu di Taman Bunga Raya di sini tidak menyangka dapat membeli rumah selesa dengan harga mampu milik.

Hisamudin Hashim, 38, berkata dia bersyukur memiliki rumah teres dua tingkat yang mempunyai empat bilik pada harga RM250,000.

“Saya hanya mencuba nasib memohon membeli rumah tetapi tidak sangka lulus sebab gaji sebagai pembantu tadbir tidak tinggi.

Hisamudin Hashim 38

“Ketika ini saya menyewa di Kota Damansara, Insya-Allah saya dan keluarga berpindah ke sini sedikit masa lagi,” katanya ditemui pemberita selepas menerima kunci rumah yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebanyak 419 unit rumah dibina atas kawasan seluas 26.8 ekar dengan 109 unit fasa pertama siap.

Bagi Mohd Hazwan Abdul Wahab, 40, sukar untuk menggambarkan perasaan apabila impian memiliki rumah sendiri tercapai.

Mohd Hazwan Abdul Wahab 40

“Semua orang impikan kediaman selesa tetapi bukan semua mampu memilikinya, justeru saya berharap Kerajaan Negeri membina lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan bergaji rendah,” katanya.

Sementara itu Muhammad Zahiruddin Mohammed, 33, berkata projek Rumah SelangorKu memenuhi impian golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman selesa.

“Saya harap Kerajaan Negeri meneruskan usaha membina rumah untuk golongan B40 kerana masih ramai di luar sana yang belum memiliki kediaman sendiri,” katanya.


Pengarang :