Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDAJENAYAH

Pemerdagangan manusia: Polis tahan dua lelaki

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki menjadi dalang mangsa pemerdagangan manusia melibatkan lima wanita warga Vietnam, di Jalan Raden Bagus di sini, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Saiful Annuar Yusoff berkata kedua-dua lelaki terbabit dipercayai bertindak selaku pengurus kepada kesemua mangsa berusia lingkungan 26 hingga 34 tahun.

“Operasi Pintas (Op Pintas) kira-kira 10.10 malam itu membongkar kegiatan jijik terbabit dipercayai telah beroperasi kira-kira sebulan lepas.

“Polis dalam masa sama, turut menemukan pasport milik kesemua mangsa dipercayai dipegang oleh seorang daripada suspek yang ditahan.

“Hasil siasatan juga mendapati mangsa telah dipaksa untuk memberikan khidmat seks dengan bayaran RM250 dikenakan bagi setiap pelanggan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Saiful Annuar berkata pihaknya akan memohon reman kepada dua suspek terbabit dan mereka akan disiasat di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Kesemua mangsa terbabit akan dimohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) seterusnya dihantar ke pusat perlindungan sementara,” katanya.

Saiful Annuar berkata serbuan terbabit turut membawa kepada rampasan sembilan buah telefon bimbit, tiga keping kad akses bilik, 24 kondom selain wang tunai berjumlah RM1,250.

– BERNAMA


Pengarang :