Selangorkini
AGENDA GLOBAL

Pemimpin Asean capai persetujuan lima perkara mengenai krisis Myanmar

JAKARTA, 24 APRIL: Pemimpin negara-negara anggota Asean mencapai lima kata sepakat mengenai krisis Myanmar selepas rampasan kuasa pada mesyuarat khas pemimpin blok serantau itu di sini hari ini.

“Kami, sebagai sebuah keluarga Asean, telah mengadakan perbincangan tentang perkembangan di Myanmar baru-baru ini dan menzahirkan keprihatinan mendalam kami terhadap situasi di negara itu, termasuk laporan kematian dan peningkatan keganasan.

“Kami mengakui peranan positif dan konstruktif Asean dalam memudahkan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat Myanmar dan mata pencarian mereka dan oleh itu, bersetuju dengan ‘Konsensus Lima Perkara’,” demikian menurut Pernyataan Pengerusi mengenai Pertemuan Pemimpin-Pemimpin Asean yang dikeluarkan oleh laman sesawang Pengerusi Brunei Darulsalam di www.Asean2021.bn hari ini.

Mengenai situasi di Myanmar, kesemua pemimpin mencapai kata sepakat seperti berikut:

Pertama, menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar dan semua pihak mengambil langkah untuk bertenang.

Kedua, dialog konstruktif antara semua pihak yang berkenaan akan dimulakan untuk mencari jalan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat.

Ketiga, duta khas Pengerusi Asean akan memudahkan perantaraan proses dialog dengan bantuan Ketua Setiausaha Asean.

Keempat, Asean akan memberikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana Asean (Pusat AHA).

Kelima, duta khas dan delegasi akan melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan.

Mesyuarat Pemimpin Asean itu berlangsung di Sekretariat Asean di Jakarta dan dipengerusikan oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

“Kami juga mendengar gesaan supaya semua tahanan politik dibebaskan termasuk warga asing. Kami juga menekankan kepentingan usaha berterusan Myanmar dalam menangani situasi di Negeri Rakhine, termasuk memulakan proses penghantaran balik, secara sukarela, selamat dan bermaruah mengikut perjanjian dua hala dengan Bangladesh,” menurut satu kenyataan.

Sehubungan itu, pemimpin Asean juga berharap untuk menyambung semula penghantaran balik pelarian secepat mungkin.

“Kami sekali lagi menzahirkan penghargaan kami kepada Setiausaha Agung Asean atas usahanya dalam memimpin pelaksanaan cadangan Penilaian Keperluan Awal (PNA).

“Kami juga mengharapkan pelaksanaan Penilaian Keperluan Komprehensif (CNA) dan menggalakkan Setiausaha Agung Asean untuk terus mengenal pasti bidang-bidang yang boleh memudahkan secara berkesan proses penghantaran balik pelarian dari Negeri Rakhine.

“Kami juga menekankan kepentingan usaha menangani punca utama keadaan di Negeri Rakhine,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 


Pengarang :