Penerima rumah sumbangan LZS, Asmah Suboh bergambar bersama replika kunci di hadapan rumah sumbangan LZS selepas Majlis Lawatan dan Penyerahan Kunci Rumah Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Permatang Pasir, Kuala Selangor pada 23 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Penerima rumah sebak, ucap terima kasih kepada MB, LZS

KUALA SELANGOR, 24 APRIL: Penerima rumah sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebak ketika berkongsi perasaan mendiami kediaman baharu menjelang Aidilfitri.

Ibu tunggal, Asmah Suboh, 67, berkata sebelum ini dia bersama lapan anak tinggal sementara di rumah sewa di Kampung Sungai Yu dibiayai LZS.

“Saya menangis sebaik sahaja dimaklumkan terpilih menerima rumah baharu, perasaan saya bercampur baur hanya Allah sahaja tahu.

“Sejak kematian suami 19 tahun lepas, saya melakukan pelbagai kerja untuk membesarkan anak-anak,” katanya.

Bagi Rahmat Idris, 59, sambutan Aidilfitri bersama isteri dan enam anak pada tahun ini paling bermakna dalam kehidupan mereka.

Penerima rumah sumbangan LZS, Rahmat Idris bercakap kepada media selepas Majlis Lawatan dan Penyerahan Kunci Rumah Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Permatang Pasir, Kuala Selangor pada 23 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya ucapkan terima kasih kepada LZS dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Insya-Allah rumah ini saya jaga elok-elok.

“Kami sekeluarga tidak pernah termimpi menerima rumah selesa seperti ini kerana saya hanya bekerja kampung selain mengutip barangan terpakai untuk dijual,” katanya.

Terdahulu seramai 13 keluarga asnaf fakir dan miskin di Kampung Baru Pasir Penambang di sini menerima rumah baharu sumbangan LZS yang disampaikan Dato’ Menteri Besar.

Setiap keluarga menerima rumah tiga bilik berkeluasan 800 kaki persegi bernilai antara RM86,000 hingga RM90,000 seunit serta lengkap dengan kemudahan elektrik dan air.

Sejak 2010 sehingga kini, LZS mengagihkan zakat berjumlah RM99.9 juta untuk membina sebanyak 2,283 unit rumah asnaf fakir, miskin dan mualaf.


Pengarang :