Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama peniaga dan mengedarkan juadah berbuka puasa ketika program Jelajah Ramadan Kita Selangor di Bazar Ramadan Kosmopleks, Sepang pada 26 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Penganjur bazar Ramadan gagal patuhi SOP berdepan tindakan tegas

SEPANG, 26 APRIL: Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penganjur bazar Ramadan yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Dato’ Menteri Besar berkata penutupan operasi bazar juga akan dilakukan jika terdapat laporan ketidakpatuhan pengunjung dan peniaga.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan tidak mengambil tindakan melulu kerana taklimat dan ingatan akan diberi dahulu sekiranya didapati melanggar SOP yang ditetapkan.

“Saya percaya bazar lain juga padat namun jika kepatuhan mereka kepada SOP itu tinggi, akhirnya akan dapat lihat satu kawalan yang baik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas lawatan ke Bazar Ramadan Kosmopleks menerusi Jelajah Ramadan Kita Selangor ke daerah Sepang di sini, hari ini.

Amirudin berkata setakat ini hanya Bazar Ramadan Greenwood ditutup akibat kegagalan mematuhi SOP namun telah diberi kebenaran beroperasi semalam.

Pada masa sama, beliau menyarankan semua bazar Ramadan melaksanakan format laluan sehala kepada pengunjung bagi mengelak penularan Covid-19.

“Dengan adanya format laluan sehala keadaan bazar akan lebih terkawal, cuma mungkin pengunjung kurang selesa tetapi itu realiti yang terpaksa dilalui bagi mengelak penularan wabak,” katanya.


Pengarang :