Pengunjung tetap mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka meskipun hujan lebat ketika membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam pada 13 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengunjung puas hati harga juadah bazar Ramadan

SHAH ALAM, 18 APRIL: Rata-rata pengunjung bazar Ramadan di Stadium Shah Alam berpuas hati terhadap harga juadah yang ditawarkan setiap gerai.

Pengurus syarikat pendidikan Rajae Mohamad Ali, 37, berkata harga bagi setiap makanan dan minuman berpatutan malah sama seperti dua tahun lalu.

“Jadi, dengan harga yang masih sama seperti ini, saya dapat beli lebih banyak makanan untuk keluarga,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Dia juga berpuas hati terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) peniaga dan pengunjung yang mengamalkan penjarakan fizikal dan mendaftar melalui MySejahtera.

Sementara itu, peniaga bubur lambuk Ashraf Baharudin, 26, berkata meskipun bilangan pengunjung agak ramai namun masing-masing mengambil langkah kawalan kendiri.

“Harga makanan di sini juga murah dan boleh dapat makanan bungkus serendah RM4 manakala air manis dan kuih-muih boleh dapat RM2.

“Sambutan agak menggalakkan namun apabila cuaca hujan lebat jualan agak kurang dan lambat habis,” katanya lagi.


Pengarang :