Ng Sze Han menjawab pertanyaan ketika sesi temu bual bersama Media Selangor di pusat pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 11 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Peniaga Kampung Manickam dipindah ke tapak Pasar Bangi Lama

SHAH ALAM, 8 APRIL: Operasi perniagaan atas rizab jalan sekitar Kampung Manickam dipindahkan ke tapak baharu di Pasar Bangi Lama, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han menjelaskan tindakan segera membantu golongan terbabit membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kelangsungan hidup mereka.

“Kerajaan Negeri sentiasa bertindak mengikut lunas undang-undang dan bukan secara semberono. Untuk kawasan yang menjadi persoalan, berlaku pencerobohan ke atas tanah kerajaan serta individu.

“Aduan yang diterima diteliti dan diperhalusi serta tindakan penguatkuasaan adalah bagi
melaksanakan undang-undang dengan turutan pemakluman yang teratur,” katanya dalam kenyataan.

Sze Han berkata sebanyak 14 binaan tidak sah dikenal pasti di kawasan terbabit meliputi restoran, stor, gerai dan pusat cuci kereta yang tidak diselenggara dengan baik.

Jelasnya, struktur berkenaan juga membahayakan pengguna berikutan jaraknya yang terlalu hampir dengan jalan keluar masuk selain membuat penyambungan elektrik haram.

“Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat setempat sedia bekerjasama memudah cara penempatan semula perniagaan kecil asalkan mengikut tatacara ditetapkan,” katanya.

Pada Selasa, sebanyak 12 daripada 14 lot kedai atas rizab jalan di Kampung Manickam di Bangi Lama dirobohkan Majlis Perbandaran Kajang.

Tindakan mengikut beberapa siri notis yang dikeluarkan antara 10 Ogos 2020 hingga 2 April 2021.


Pengarang :