Pengunjung mengimbas kod QR dan memakai pelitup muka sebelum memasuki bazar Ramadan di Kompleks PKNS, Seksyen 14 Shah Alam pada 17 April 2021. Foto BERNAMA
PBTSELANGOR

Peniaga, pengunjung bazar Shah Alam patuh SOP

SHAH ALAM, 27 APRIL: Lebih 90 peratus pengunjung dan peniaga bazar Ramadan sekitar Shah Alam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan berkata larangan membawa kanak-kanak bawah 12 tahun juga dipatuhi sepenuhnya oleh pengunjung.

“Mungkin daripada segi kekangan pengunjung perlu beratur panjang tetapi demi kepentingan umum, mereka akur dengan arahan ditetapkan.

“Saya berasakan pengunjung dan peniaga boleh mengikut norma baharu ini, justeru saya berterima kasih kepada mereka kerana memberi kerjasama,” katanya.

Mohd Rashidi Ruslan mengangkat sumpah jawatan sebagai pemangku Datuk Bandar Shah Alam di Wisma MBSA, Shah Alam pada 19 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan cek sumbangan bantuan makanan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi di Wisma MBSA di sini hari ini.

Mohd Rashidi berkata pemantauan di seluruh bazar berjalan sepanjang masa bagi memastikan tiada isu pelanggaran SOP yang boleh menjejaskan operasi.

“Paling penting, kita sudah memberikan keyakinan kepada Kerajaan Negeri untuk membenarkan bazar Ramadan dan berharap ia dapat beroperasi sehingga akhir bulan puasa,” katanya.

MBSA menempatkan seramai 200 anggota penguat kuasa di semua 51 bazar Ramadan kendaliannya bagi memantau pematuhan SOP.

Bermula 20 April, Kerajaan Selangor menyelaras semula penguatkuasaan SOP seluruh bazar Ramadan dan Aidifitri bagi mengelakkan kluster baharu serta gelombang keempat Covid-19.

Ketetapan baharu antaranya melibatkan laluan sehala, pelaksanaan sistem bernombor, mengehadkan bilangan pengunjung dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk.


Pengarang :