Sebahagian pesawah yang mengadakan protes aman di Sekinchan pada 27 APRIL 2021. FOTO MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Pesawah minta subsidi padi dinaikkan kepada RM500

SABAK BERNAM, 27 APRIL: Kira-kira 1,000 petani di Sekinchan di sini meminta kerajaan Persekutuan menaikkan skim subsidi padi kepada RM500 bagi setiap tan metrik pengeluaran padi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berkata jumlah RM360 diperoleh pesawah ketika ini tidak mencukupi selain ia juga sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan golongan berkenaan.

Ng Suee Lim berkata bantuan disalurkan terus kepada akaun petani juga dapat mengelak berlaku ketirisan dan secara tidak langsung membantu dengan kadar segera.

“Mereka berkorban tanam padi untuk kesejahteraan negara dan kerajaan Persekutuan perlu memberi ganjaran setimpal dengan usaha dilakukan. Kalau tidak siapa lagi nak bantu? Baik kita buat kilang di sini, petani pun tidak susah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan protes aman bersama 50 petani terhadap lanjutan konsensasi Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Sekinchan di sini hari ini.

Suee Lim berkata pesawah yang tidak berpuas hati dengan Bernas turut meminta kerajaan Persekutuan mengkaji semula harga padi basah yang naik sehingga 28 peratus dan diturunkan semula pada kadar lama iaitu 17 peratus.

“Harga padi basah adalah padi dihantar ke kilang dan ia akan ditolak berdasarkan kandungan air. Kalau 1,000 kilogram (kg) ditolak 280 kg (28 peratus) maka akan menjejaskan pendapatan pesawah,” katanya.

Beliau berkata petani juga menyuarakan isu kadar harga beras import yang dijual RM3 sekilogram berbanding beras tempatan RM2.60 sekilogram sedangkan kedua-duanya mempunyai kualiti hampir sama dan ia hanya menguntungkan Bernas.

“Saya sudah menghantar surat kepada Menteri Pertanian Datuk Seri Ronald Kiandee dan berharap perkara ini diberi perhatian.

“Protes ini adalah salah satu kaedah tetapi penyelesaiannya menteri kena tolong, di peringkat Kerajaan Negeri kita akan bantu sedaya upaya namun kuasa pada kementerian,” katanya.


Pengarang :