EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail meraikan 70 peserta, Ketua Komuniti India dan syarikat peneraju program Usahawan Siswazah (Grow) di Dewan Jubli Perak pada 15 September 2020.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peserta usahawan siswazah PKNS 2020 catat jualan RM4.4 juta

SHAH ALAM, 9 APRIL: Peserta Program Usahawan Siswazah (GROW) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2020 berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak RM4.4 juta, kedua tertinggi sepanjang 15 tahun pelaksanaan program tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Siti Zubaidah Abd Jabar berkata jumlah tersebut sangat memberangsangkan memandangkan peserta perlu berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 dalam memasarkan produk mereka.

“Jualan tertinggi pada 2019 iaitu kira-kira RM7.1 juta manakala pada 2020, walaupun dalam keadaan pandemik, mereka berjaya mendapat jualan sebanyak RM4.4 juta.

“Meskipun 2020 merupakan tahun yang mencabar susulan pandemik Covid-19, namun itu tidak menghalang usahawan muda ini untuk melonjakkan rekod jualan menggunakan kaedah jualan dalam talian melalui bantuan PKNS.

“Sepanjang 15 tahun pelaksanaan program itu, kami telah berjaya melatih 363 peserta dan sebanyak RM30.7 juta jumlah jualan telah dicatatkan sepanjang tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Program GROW PKNS 2020, di sini, hari ini.

Seramai 29 peserta GROW PKNS 2020 yang tamat menjalani kursus selama enam bulan diraikan dalam majlis tersebut.

Dalam pada itu, Siti Zubaidah berkata pihaknya akan memasukkan modul pemulihan perniagaan sebagai elemen baharu dalam program GROW PKNS 2021 yang akan dijalankan pada Jun ini sebagai persediaan kepada peserta untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran pada masa akan datang.

“Modul pelan pemulihan perniagaan bukan sahaja untuk digunakan semasa krisis pandemik (Covid-19) tetapi untuk apa krisis sekalipun.

“Jika melihat kepada pusingan ekonomi biasa yang tidak melibatkan pandemik, setiap lapan hingga 10 tahun akan berlaku kemerosotan ekonomi selain kini ramai berniaga benda yang sama.

“Pelan pemulihan dalam situasi ini amat penting supaya usahawan GROW tidak berniaga dalam tempoh yang singkat. Mereka akan menambah baik pelan perniagaan mereka secara berkala (untuk kesinambungan perniagaan),” katanya.

Program GROW PKNS menekankan kaedah pelaksanaan yang mengkhususkan kepada aktiviti modul dan bengkel, bimbingan berkumpulan dan bimbingan individu. Pengambilan peserta adalah khusus kepada lepasan graduan berumur 30 tahun ke bawah, perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan dijalankan sepenuh masa.

– BERNAMA


Pengarang :