Petugas Kesihatan Selcare mengambil sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) ketika Saringan Komuniti percuma di Dewan Serbaguna MPAJ, Ampang pada 28 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Petaling, Klang catat kes Covid-19 lebih 100

SHAH ALAM, 3 APRIL: Dua daerah di Selangor mencatat kes Covid-19 lebih 100 semalam, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Agensi memaklumkan daerah terbabit meliputi Petaling yang merekodkan 113 kes manakala Klang dengan 106 kes.

“Di Petaling, 44 daripada 113 kes dikesan membabitkan mukim Petaling, Damansara (34), Sungai Buloh (26) dan Bukit Raja (sembilan), majoritinya berpunca daripada saringan kontak rapat.

“Daripada 106 kes di Klang, sebanyak 103 kes berlaku di mukim Klang dengan kebanyakannya hasil saringan pekerja manakala baki tiga kes lagi di mukim Kapar,” maklum JKNS di Facebook.

Jabatan itu menambah sebanyak 96 kes di Hulu Langat, Sepang (79), Gombak (30), Kuala Langat (22), Hulu Selangor dan Kuala Selangor masing-masing empat kes serta satu kes di Sabak Bernam.

Secara keseluruhan, Selangor merekodkan 455 kes Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif 116,770 kes sejak wabak menular.


Pengarang :