Seorang petugas kesihatan menanggalkan sarung tangan getah selepas menjalankan saringan Covid-19 di Petaling Jaya pada 18 Januari 2021. Foto AFP
AGENSISELANGOR

Petaling rekod kes Covid-19 tertinggi lima hari berturut-turut

SHAH ALAM, 17 APRIL: Petaling menyumbang peningkatan kes Covid-19 di negeri ini dalam tempoh lima hari berturut-turut, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Agensi berkata sebanyak 277 kes dicatat di daerah itu membabitkan mukim Petaling (77), Damansara (75), Bukit Raja (65) dan Sungai Buloh (60), majoriti saringan kontak rapat.

Jelasnya, Hulu Langat pada kedudukan kedua mencatat 195 kes iaitu mukim Kajang (65), Cheras (57), Ampang (49), Semenyih (lima), Hulu Langat (dua), Beranang (satu) dan baki kes orang kena tahan.

“Klang dan Sepang masing-masing mengumpul 73 kes, Gombak dengan 59 kes, Kuala Langat (58), Hulu Selangor (12), Kuala Selangor (tiga) dan Sabak Bernam (satu),” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Selangor merekodkan 751 kes baharu Covid-19 hari ini dan 640 lagi kes sembuh.

Setakat ini, seramai 120,344 pesakit di negeri itu pulih berbanding 123,158 kes yang dilaporkan sejak pandemik menular.

 


Pengarang :