AGENDANASIONAL

PGA7 rampas jamu tanpa kelulusan KKM nilai RM432,000

KOTA BHARU, 26 APRIL: Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas sebanyak 4,800 botol produk jamu bernilai RM432,000 dalam serbuan di sebuah rumah kedai dekat Bandar Tasek Raja, Pasir Mas, petang semalam.

Difahamkan, rampasan oleh sepasukan Strike Force PGA7 itu dilakukan selepas pemeriksaan mendapati kesemua barangan itu tidak mempunyai sebarang kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Pegawai Pemerintah Medan PGA7 Supt Azhari Nusi berkata serbuan dilakukan pada 1 tengah hari selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan sebuah stor penyimpanan barang tanpa kelulusan.

Beliau berkata ketika tiba di rumah kedai dua tingkat tersebut, terdapat seorang lelaki berumur 29 tahun dipercayai pekerja di situ.

“Pemeriksaan yang dilakukan di dalam rumah kedai itu menemukan sebanyak 4,800 botol jamu jenama BIO NERVEE. Setiap botol jamu itu dianggarkan bernilai RM90,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azhari berkata pekerja lelaki yang juga penduduk tempatan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah dan kelulusan daripada KKM berkaitan produk yang disimpan di situ.

Katanya, hasil semakan dengan pihak KKM menyatakan produk terbabit tiada sebarang permohonan bagi memperoleh kelulusan bagi menyatakan produk berkenaan selamat digunakan.

“Pihak KKM juga memohon bantuan PGA7 untuk merampas produk ini bagi tindakan selanjutnya kerana kebimbangan terdapat banyak barangan kosmetik di pasaran yang tidak mempunyai kelulusan pihak KKM serta memudaratkan kesihatan pengguna yang menggunakannya.

“Justeru, pihak kami telah menahan lelaki terbabit mengikut peruntukan di bawah Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) serta merampas barangan itu sebelum dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh pihak berkaitan mengikut Peraturan 7 (1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :