Selangorkini
Pemain Melaka United FC Ahmad Syamim Yahya (dua, kanan) cuba menghalang kemaraan pemain Selangor FC Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat pada 18 April 2021. Foto: BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

PJ City ikat ‘kuda hitam’, Gergasi Merah bangkit atasi MU

PETALING JAYA, 19 APRIL: Petaling Jaya (PJ) City FC berjaya mengikat pasukan ‘kuda hitam’ Liga Super 2021, Penang FC 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Pasukan tuan rumah yang dibarisi oleh 100 peratus pemain tempatan berada di depan apabila gerakan solo Mahali Jasuli berjaya mengelirukan penjaga gol Penang FC Tian Keat See sebelum membuat hantaran pendek yang disempurnakan V.Ruventhiran pada minit ke-39.

Bagaimanapun, skuad Harimau Kumbang bimbingan Trucha Thomas berjaya menyamakan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bermula menerusi tandukan penyerang import dari Brazil, Casagrande.

Kedudukan kekal hingga wisel penamat dibunyikan untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Grafik: Facebook Malaysian Football League

Ketinggalan sebanyak dua kali tidak mematahkan semangat Selangor FC untuk memastikan mereka pulang dengan mata penuh mengatasi Melaka United 3-2 di Stadium Hang Jebat.

Tuan rumah terlebih dahulu memperoleh jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti berikutan tindakan Jordan Ayimbila menjatuhkan S Kumaahran yang mudah disudahkan oleh Stefan Nikolic sebelum babak pertama tamat.

Olusegun Ifedayo menyamakan kedudukan buat skuad Gergasi Merah pada minit ke-51 sebelum skuad kendalian Zainal Abidin Hassan kembali di hadapan menerusi jaringan Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-58 namun Ifedayo sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-70 sebelum Muhammad Syahmi Safari meledak gol kemenangan Selangor FC pada minit ke-88.

Keputusan perlawanan malam tadi menyaksikan Penang FC kekal di kedudukan keempat dengan 16 mata, diikuti Selangor FC di tempat kelima (14), PJ City di tempat ketujuh (11) dan Melaka United di tempat ke-10 dengan tujuh mata.

Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dua jaringan bekas penyerang kebangsaan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak membawa Negeri Sembilan FC melonjak ke tangga teratas Liga Premier selepas menang tipis 2-1 ke atas Kelantan FC.

Turun dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, skuad Hobin Jang Hobin bermula ganas menerusi jaringan Mohd Zaquan seawal minit keempat, sebelum skuad The Red Warriors membalas menerusi pemain import dari Sepanyol Mario Arques Blasco pada minit ke-54 dalam percubaan untuk pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata.

Skuad kendalian K. Devan bagaimanapun mengesahkan tiga mata penuh menerusi jaringan Mohd Zaquan pada minit ke-69.

Negeri Sembilan berada di puncak dengan 17 mata selepas lapan perlawanan, mengatasi Sarawak United (16 mata) yang memiliki satu perlawanan di tangan.

Selangor FC 2 pula terikat 1-1 menentang Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

– BERNAMA

 


Pengarang :