Suasana di sekitar perumahan di Bandar Baru Selayang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan SelangorKini pada 29 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPD tiga lokasi di tiga negeri bermula esok – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi di tiga negeri yang menyaksikan trend peningkatan kes positif Covid-19 selama dua minggu bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiga kawasan berkenaan membabitkan Maahad Tahfiz Al Azhari (MTAZ) di Machang, Kelantan; Kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan serta di dua penempatan sekitar Sungai Chalit dan lima penempatan sekitar Sungai Klau di Raub, Pahang.

Mengenai MTAZ, beliau berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan 87 kes positif hasil daripada 207 keseluruhan ujian saringan yang dilakukan ke atas pelajar dan penghuni maahad tersebut.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta membendung penularan dalam kalangan pelajar dan penghuni maahad itu,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Ismail Sabri berkata bagi kes di Kampung Bangkahulu, KKM telah melakukan 170 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 38 kes positif COVID-19 direkodkan dan pada masa sama, kementerian berkenaan mengesahkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu manakala kadar positiviti kes tinggi iaitu 22.9 peratus.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan keluar ke komuniti,” katanya.

Bagi PKPD di tujuh penempatan di Raub, Pahang, ia melibatkan Kampung Baru Sungai Chalit, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Sungai Chalit, Taman Sungai Klau, Taman Maju Sungai Klau, Taman Kelau Jaya, Taman Harmoni dan Kampung Sungai Klau.

“Sehingga kini, KKM telah merekodkan empat kes di Sungai Chalit dan satu kes positif di Sungai Klau manakala terdapat tujuh sampel ujian masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD di Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong, Pahang ditamatkan hari ini, dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 30 April.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, beliau berkata seramai 295 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) dengan 288 individu dikenakan kompaun manakala tujuh direman.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (175 kes), tidak memakai pelitup muka (71 kes), aktiviti pusat hiburan dan tiada penjarakan fizikal masing-masing empat kes, rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (dua kes) dan lain-lain (39 kes).

– BERNAMA


Pengarang :