Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad menandatangani plak sempena majlis perasmian tapak PKPS Prihatin di kebun Komuniti Seksyen 7, Shah Alam pada 11 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS buka tapak niaga di Seksyen 7 Shah Alam

SHAH ALAM, 11 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuka tapak harian kekal menjual barangan basah dan kering di Kebun Komuniti Jalan Keluli, Seksyen 7, di sini.

Pembukaan tapak PKPS Prihatin yang menempatkan Lori Selangor Agro Market dirasmikan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad.

Menurut Masdiana, inisiatif itu membantu orang ramai memperoleh barangan segar seperti ayam, daging, ikan dan sayuran yang dijual murah berbanding harga pasaran.

Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad memegang sayuran yang dijual dengan harga murah sempena majlis perasmian tapak PKPS Prihatin di kebun Komuniti Seksyen 7, Shah Alam pada 11 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ramai yang terkesan sejak perebakan Covid-19, justeru inisiatif yang dilaksanakan PKPS besar manfaatnya kepada mereka,” katanya ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata pengusaha kebun komuniti negeri ini terutama usahawan wanita disaran menjalin kerjasama dengan PKPS bagi meningkatkan pasaran hasil tani.

“Sekiranya barangan dipasarkan terus kepada PKPS, pengusaha akan mendapat lebih banyak manfaat,” katanya.

Pada awalnya, PKPS memperkenal program Lori Selangor Agro Market bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Jualan berkonsep kendera saji bergerak ke lokasi terpilih diteruskan susulan permintaan tinggi orang ramai.


Pengarang :