Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian pada program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 21 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

POIS langkah terbaik kawal kluster tempat kerja

SHAH ALAM, 1 APRIL: Sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) merupakan langkah terbaik mengawal jangkitan Covid-19 selepas kerajaan membatalkan arahan pematuhan dasar 30 peratus bekerja dari rumah.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata menerusi sistem itu, jawatankuasa ditubuhkan akan memantau persekitaran tempat kerja selain sentiasa mengingatkan pekerja supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Jelas Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sistem POIS yang lebih sistematik menggunakan kaedah pembahagian kerja mengikut tugasan juga dapat mengurangkan interaksi antara individu sekali gus merendahkan risiko jangkitan.

“Ini penting kerana jika ada pekerja berpotensi sebagai perebak utama (super spreader), individu tersebut tidak akan menjangkiti pihak lain kerana kurang interaksi antara mereka.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat pengurusan kilang berkenaan garis panduan operasi kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“POIS juga mewajibkan saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) berkumpulan secara berskala. Cara ini menjimatkan kos selain membolehkan majikan bertindak lebih pantas mengikut keperluan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Bekas menteri kesihatan itu berkata aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang terkandung dalam sistem itu mampu mengesan kontak berisiko sekiranya terdapat jangkitan dalam kalangan pekerja.

“Semoga semua pekerja dapat mematuhi SOP. Kebenaran sektor swasta beroperasi dengan kapasiti maksimum merupakan langkah memulihkan ekonomi dan memastikan ia terus berkembang,” katanya.

Pada 6 Januari, STFC melancarkan POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi manakala SELangakah merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja dan memantau komponen sistem berkenaan.

Antara syarikat yang menyertai POIS ialah kilang Nestle di Seksyen 15 dan Celestica Malaysia di Johor dan Kedah.


Pengarang :