Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi tabik hormat pada hari perbarisan sempena sambutan peringatan hari Polis ke-214 tahun 2021 di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis disaran kembalikan imej integriti – KPN

KLANG, 10 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran agar kembali memperkasakan imej integriti badan beruniform itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata beliau sedar bahawa terdapatnya keluhan serta cemuhan daripada masyarakat berhubung soal integriti dalam pasukan polis sejak kebelakangan ini.

“Saya merayu dan menasihati mereka (anggota PDRM) mana yang telah terbabas sebelum ini supaya balik ke pangkal jalan, …supaya nama baik PDRM itu berada pada tempatnya.

“Akhir-akhir ini saya nampak ada peningkatan walaupun belum sampai ke tahap yang diharapkan, tetapi sudah nampak keikhlasan. Pelbagai kejayaan dan reaksi positif yang saya terima daripada masyarakat terhadap khidmat yang disampaikan,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Selangor, di Tapak Padang Surau An-Nur di sini hari ini.

“Sama-sama kita perbetulkan diri dan menjalankan peranan dan tanggungjawab kita seperti yang termaktub dalam undang-undang dan ikrar polis.

“Sekiranya kita dapat meningkatkan integriti kita, kita akan dapat kerjasama daripada masyarakat dan mereka akan hormati kita dan banyak lagi kejayaan dicapai dalam memerangi jenayah dan juga dadah,” katanya.

Abdul Hamid berharap agar masyarakat memberi keyakinan kepada PDRM untuk memperbaiki sistem penyampaian sedia ada.

Beliau berkata PDRM akan turut memperluaskan Amanita di seluruh negara bagi membantu usaha membanteras jenayah dengan kerjasama orang ramai.

“Sejurus menerima sebarang maklumat berkaitan jenayah, Amanita akan menyalurkannya kepada Ketua Polis Daerah kawasan itu bagi tindakan lanjut.

“Ia selaras dengan peranan Amanita untuk memupuk kesedaran golongan suri rumah mengenai keselamatan kejiranan dan tanggungjawab sosial bagi mengekang jenayah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :