AGENDANASIONAL

Polis kesan penipuan guna laman sesawang palsu Maybank2U

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Polis telah mengesan satu bentuk penipuan dalam talian melibatkan beberapa kes yang menggunakan laman sesawang Maybank2U palsu bagi mengambil wang dalam akaun mangsa tanpa disedari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata dalam kes ini, sindiket ini akan menghantar e-mel kepada mangsa yang kononnya e-mel itu dihantar oleh pihak Maybank dengan menyatakan akaun milik mangsa mempunyai masalah keselamatan.

Beliau berkata mangsa kemudiannya diminta untuk menekan pautan yang disertakan di dalam e-mel berkenaan.

“Setelah pautan ditekan laman sesawang seperti Maybank2U akan dipaparkan, namun tanpa disedari ianya merupakan laman sesawang palsu dan mangsa kemudiannya dikehendaki mengemas kini butiran peripadi, kata laluan serta nombor telefon melalui laman sesawang terbabit.

“Tidak lama setelah pengemaskinian dilakukan, mangsa akan mendapati wang di dalam akaun miliknya telah berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata berdasarkan rekod, PDRM menerima sebanyak empat laporan berkaitan kes penipuan melalui pautan Maybank2U palsu melibatkan kerugian sebanyak RM22,300 dan suspek belum dikenal pasti.

Zainuddin berkata kaedah perbankan dalam talian telah menyediakan satu platform yang membolehkan pengguna melakukan urusan perbankan secara lebih cepat dan mudah.

Bagaimanapun, kaedah ini turut dimanipulasikan oleh sindiket penipuan melalui pewujudan laman sesawang palsu yang menyerupai laman sesawang asal bank yang berkaitan.

Dalam kes yang terbaru, pautan laman sesawang palsu tersebut diperoleh mangsa melalui iklan cabutan bertuah Maybank yang dipaparkan melalui Facebook.

Beliau berkata orang ramai diingatkan untuk sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa sindiket penipuan sebegini dan haruslah memastikan alamat URL yang dipaparkan bagi laman sesawang Maybank2U yang dibuka adalah sama dengan laman sesawang bank itu.

“Dapatkan pengesahan dengan pihak bank sekiranya menerima e-mel yang mengarahkan anda untuk mengemas kini maklumat peribadi melalui laman sesawang Maybank2U.

Berhubung dengan CCID Scam Responce Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika anda mempunyai sebarang kemusykilan ataupun keraguan berkaitan sesuatu urusan yang disyaki mempunyai kaitan dengan penipuan (scam),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :