SELANGOR

Polis kesan sindiket penipuan ejen pembelian dalam talian Lazada

SHAH ALAM, 20 APRIL: Polis Selangor mengesan sindiket penipuan yang kononnya menjadi ejen mencari pekerja sambilan bagi platform e-dagang, Lazada sejak 6 Feb lepas yang melibatkan kerugian lebih RM200,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata sindiket tersebut menawarkan pekerjaan sebagai ejen pembelian dalam talian dan mangsa akan diminta melengkapkan tugasan menjual barang untuk mendapatkan keuntungan yang dijanjikan oleh mereka.

Muhammad Yazid berkata mangsa juga dikehendaki membayar beberapa kos bagi membolehkan mereka mendapat pulangan yang dijanjikan sebagai ejen tersebut.

“Sejak 6 Feb hingga hari ini, sebanyak 23 kertas siasatan dibuka pihak polis melibatkan sindiket penipuan ini dengan nilai kerugian sebanyak RM219,271.

“Sindiket ini kebiasaannya akan memberi semula pulangan kos yang dibayar berserta komisen seperti yang dijanjikan pada tugasan pertama dan kedua, namun memasuki tugasan seterusnya mereka akan mula berdolak-dalik sebelum tidak dapat dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Yazid berkata sindiket ini akan terlebih dahulu mengarah mangsa membayar harga barangan yang tertera setelah dihubungi melalui nombor telefon yang tidak dikenali ataupun WhatsApp dan pembayaran dilakukan bukan melalui akaun Lazada tetapi terus ke akaun sindiket.

“Tujuan pembayaran bukanlah untuk pembelian barangan tetapi bagi menaikkan rating barangan tersebut di akaun Lazada. Sindiket akan menerangkan kononnya mangsa akan menerima semula kos pembayaran barangan berserta pulangan komisen sebanyak lapan hingga 15 peratus sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Susulan itu, Muhammad Yazid menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketikan berurusan mencari pekerjaan sambilan terutamanya melalui platform secara dalam talian.

– BERNAMA


Pengarang :