Selangorkini
Anggota polis Cawangan Pengurusan Saman Koperal Adilah [email protected] menunjukkan aplikasi MyBayar Saman ketika Majlis Pelancaran Portal dan Aplikasi Mobile MyBayar Saman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Polis lanjut tempoh diskaun 50 peratus MyBayar Saman

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Polis melanjutkan tempoh lanjutan diskaun 50 peratus bayaran saman kompaun kesalahan trafik menerusi aplikasi MyBayar Saman sehingga Khamis ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata berikutan sambutan menggalakkan, tempoh lanjutan empat hari itu dilaksanakan bagi memberi peluang orang awam menjelaskan saman kompaun kesalahan trafik masing-masing.

“Sehingga semalam iaitu hari ke-18 tempoh diskaun berkenaan diperkenal, polis mengutip sejumlah lebih RM73 juta bayaran saman daripada orang ramai membabitkan 659,998 saman.

“Jumlah itu merangkumi 56,909 saman membabitkan bayaran berjumlah lebih RM6.28 juta dijelaskan melalui aplikasi MyBayar Saman,” menurut beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Azisman berkata sehingga kini seramai 708,030 pengguna telah berdaftar dengan aplikasi MyBayar Saman.

Pada 25 Mac lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata orang ramai yang mempunyai saman kompaun trafik boleh menikmati diskaun sehingga 50 peratus menerusi pendaftaran portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman, sehingga 11 April.

Bagaimanapun tawaran diskaun itu tidak terpakai untuk kesalahan utama trafik antaranya melanggar lampu isyarat merah; memandu melebihi had laju ditetapkan; memotong garisan berkembar; menggunakan telefon semasa memandu dan memandu di lorong kecemasan.

Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian MyBayar Saman dengan melayari portal rasmi PDRM atau pautan https://mybayar.rmp.gov.my manakala bagi aplikasi mudah alih perlu memuat turun menerusi Google Playstore atau Apple Store serta mendaftar sebagai pengguna sebelum bayaran dapat dibuat.

– BERNAMA


Pengarang :