AGENDANASIONAL

Polis rampas dadah pil captagon nilai RM221 juta

PELABUHAN KLANG, 8 APRIL: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merampas 650 kilogram dadah jenis pil captagon atau dikenali sebagai ‘dadah jihad’ bernilai lebih RM221.86 juta di Pelabuhan Klang, Isnin lepas.

Pengarah JSJN Datuk Razarudin Husain berkata rampasan kedua dadah jenis tersebut di Malaysia itu adalah hasil perkongsian maklumat perisikan daripada Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

“Dadah itu telah dibawa dari negara Timur Tengah dan singgah di Pelabuhan Klang sebelum dirancang untuk menuju ke negara-negara Asia Barat untuk memenuhi permintaan pasaran di sana,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata susulan hasil maklumat risikan tersebut pihaknya telah berjaya mengesan sebuah kapal yang berlabuh di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang di sini pada Ahad lepas.

“Maklumat risikan mendedahkan sebuah kontena daripada kapal tersebut akan dipindahkan ke kapal lain yang akan meneruskan perjalanan ke Singapura pada 6 April,” katanya.

Razarudin berkata dadah yang disimpan di dalam aluminium floor spring itu berjaya dikesan pihak berkuasa melalui hasil imbasan yang menimbulkan imej yang mencurigakan.

Namun katanya tiada tangkapan dibuat dalam operasi tersebut dan JSJN dan pihak berkuasa Arab Saudi akan terus bekerjasama untuk menangkap pihak yang terlibat.

Menurutnya pil itu pada mulanya digunakan oleh Jerman untuk membesarkan otot seawal 1960-an namun telah diharamkan penggunaannya di Amerika Syarikat dan Eropah itu pada 1980-an kerana dikategorikan sebagai dadah.

Razarudin berkata dadah yang mempunyai kandungan amfetamina dan fenethylline itu biasanya digunakan oleh militan Daesh untuk menimbulkan rasa berani dan kini mula digunakan di pusat-pusat hiburan, namun katanya dadah tersebut masih belum memasuki pasaran Malaysia.

“Kita tidak mahu Malaysia dijadikan negara transit dadah dan mahu menyekat dadah ini dari masuk ke dalam negara ini,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :