Anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya di laluan keluar masuk Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam ketika tinjauan pada 16 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis Selangor perketat kawalan di sekatan jalan, bazar Ramadan

KLANG, 15 APRIL: Polis Selangor memperketat kawalan sekatan jalan raya (SJR) dan berkemungkinan menambah SJR mengikut keperluan bagi membantu usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

“Kita telah mengeluarkan arahan agar pemeriksaan yang lebih ketat dibuat terutama pada hujung minggu kerana berdasarkan pemerhatian dibuat banyak pergerakan berlaku pada hujung minggu,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan hari ini, Arjunaidi berkata sebahagian kompaun yang dikeluarkan sebelum ini juga adalah berkaitan kesalahan merentas negeri.

“Pihak Bukit Aman juga memberi arahan untuk kita membuat penelitian lebih kepada semua permohonan rentas negeri dan hanya memberikan kebenaran kepada perkara-perkara berkaitan pekerjaan, pendidikan dan hal-hal kecemasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam tempoh dua hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa pihaknya mendapati banyak berlaku pelanggaran terhadap tatacara operasi piawai (SOP) di bazar-bazar terutama membabitkan SOP penjarakan fizikal.

“Saya arahkan semua ketua polis daerah dan petugas-petugas di bawah untuk mengambil tindakan tegas mulai sekarang kepada semua individu yang melanggar SOP. Kita mahu masyarakat mematuhi SOP kerana tidak mahu lagi muncul kluster-kluster baharu.

“Kita juga akan mengambil tindakan kepada penganjur dan mungkin kita akan menutup bazar-bazar yang berkenaan,” katanya.

Semalam, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 517 kes, diikuti Sarawak 489 kes dan Kelantan sebanyak 226 kes daripada keseluruhan 1,889 kes yang dicatatkan di seluruh negeri di Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :