Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Polis siasat pegawai nikahi anak cef terkenal

IPOH, 12 APRIL: Kes perkahwinan seorang pegawai polis yang bernikah dengan anak perempuan chef selebriti popular, tanpa mendapat restu daripada isteri pertamanya, kini di bawah siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah menyerahkan siasatan itu sepenuhnya kepada JIPS IPK Perlis, selepas isteri pertama yang bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej antarabangsa di Kampar dekat sini, membuat laporan kepada JIPS IPK Perak mengenai pernikahan berkenaan.

“Pada mulanya memang dia (pegawai polis) itu bertugas di sini sebagai pegawai trafik dan telah bertukar sebagai pegawai siasatan jenayah di IPK Perlis pada 2019. Saya difahamkan perkahwinan dia berdaftar secara sah dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) di Perlis, jadi lazimnya kalau (perkahwinan) tidak minta kebenaran, JIPS akan kenakan tindakan tatatertib.

“Jadi, (tindakan) itu bergantung kepada siasatan dijalankan. Saya tidak mahu komen lebih pasal isu ini kerana siasatan dijalankan oleh JIPS Perlis,” katanya kepada pemberita di sini.

Mior Faridalathrash diminta mengulas laporan yang dibuat seorang wanita Nur Hamizah Shaffee, 34, kepada JIPS Perak pada 2 Mac lalu, berhubung pernikahan suaminya Meor Mohammad Aidid Meor Jamaluddin, 35, dengan pelakon dan pengacara Serina Redzuawan, yang juga merupakan anak kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan.

Dalam aduannya pada 18 Februari lalu, Nur Hamizah dimaklumkan oleh Meor Mohammad Aidid mengenai pernikahannya dengan Serina, yang berlaku tanpa kebenarannya selaku isteri pertama.

Bagaimanapun, Nur Hamizah berkata beliau telah diceraikan Meor Mohammad Aidid pada 9 Mac lalu di mana pasangan itu telah mendirikan rumah tangga pada 8 Ogos 2015 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Terdahulu, Mior Faridalathrash menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak dan Ketua Polis Daerah Batu Gajah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak hari ini.

Mohd Alwi Zainal Abidin menerima penyerahan tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak daripada SAC S.Suresh Kumar, manakala Supt Azizan Hassan pula menerima serah terima tugas sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak daripada ACP Ahmad Adnan Basri.

ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif pula menerima penyerahan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Batu Gajah yang baharu daripada ACP Ahmad Adnan Basri.

-BERNAMA


Pengarang :