Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis terima dua laporan gurauan rogol pelajar

SHAH ALAM, 26 APRIL: Polis mengesahkan telah menerima dua laporan daripada seorang pelajar perempuan yang tular di media sosial mendakwa guru sekolahnya bergurau keterlaluan kononnya menggalakkan pelajar melakukan perbuatan rogol.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata dua laporan tersebut adalah berkaitan pendekatan guru dikatakan tidak sesuai dan gurauan daripada rakan satu tingkatan yang tidak boleh diterima berhubung isu berkenaan.

“Jadi kedua-dua laporan ini telah kita satukan dalam satu siasatan kerana ia melibatkan satu lokaliti. Kita sudah ambil keterangan daripada pengadu (mangsa) dan guru sekolah.

“Sekarang ini kita sedang siasat serta giat mengambil rakaman percakapan daripada rakan-rakan sedarjah (tingkatan) untuk dijadikan keterangan tambahan atau dikemukan kepada pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya selepas sidang akhbar rampasan dadah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan kes seorang guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di sebuah sekolah yang didakwa bergurau keterlaluan kononnya menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

Pada Jumaat lepas, seorang pengguna TikTok menyatakan kejadian itu berlaku di dalam kelasnya ketika sedang mengikuti mata pelajaran diajar oleh guru lelaki berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata pihaknya mengulangi kemungkinan usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat berada di luar negara susulan diburu pihak penguat kuasa setelah waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Selangor sebelum ini.

Beliau berkata sekiranya Sajat berada dalam negara sudah pasti pihaknya dapat menjejak dan mengesan usahawan tersebut.

“Bagaimanapun, kita tidak berputus asa mengesan disebabkan ia adalah kes Mahkamah Syariah dan pihak mahkamah meminta pertolongan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Maklumat ini macam-macam (diterima). Ada orang kata dia di Johor dan Kelantan dan setiap maklumat itu kita ambil tindakan dengan melakukan pengesahan,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 23 Feb lepas mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.

Pada 6 Jan lepas, Muhammad Sajjad dituduh berpakaian seperti wanita dalam satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, pada 7.30 malam, 23 Feb 2018.

– BERNAMA


Pengarang :