Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dan picagari khas ‘Low Dead Volume’ yang digunakan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis: Vaksin bukan punca guru wanita maut

SEREMBAN, 5 APRIL: Polis hari ini menafikan maklumat tular menerusi media sosial kononnya seorang guru meninggal dunia selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed menjelaskan wanita itu mengalami sawan semasa berada di rumah dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson pada 1 April untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya.

“Berita tular ini tidak benar dan pihak polis menafikan punca kematian mangsa disebabkan oleh pengambilan vaksin pada 31 Mac lepas.

“Ini kerana siasatan awal pihak hospital mendapati mangsa yang meninggal dunia mempunyai rekod rawatan penyakit kronik iaitu sakit kencing manis, jantung dan darah tinggi sejak setahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai wanita berusia 54 tahun yang merupakan seorang guru di Port Dickson meninggal dunia disebabkan pengambilan vaksin.

Aidi Sham menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan berita tidak benar yang boleh mengelirukan masyarakat, dan tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

-BERNAMA


Pengarang :