Pelanggan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di sebuah restoran sekitar Shah Alam pada 14 Oktober 2020. Pembelian makanan digalakkan secara bungkus dan pemakanan di premis hanya terhad dua orang satu meja. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Premis makanan dibenar beroperasi sehingga 6 pagi sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Kerajaan membenarkan semua restoran, warung, gerai, kedai makan termasuk “coffee house” di dalam hotel serta kedai makanan segera dan perkhidmatan penghantaran di negeri-negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan beroperasi sehingga pukul 6 pagi sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu diberikan bagi membolehkan orang ramai terutama golongan bujang mendapatkan makanan untuk bersahur.

Bagaimanapun, katanya bagi premis makanan di dalam kompleks beli belah atau pasar raya, ia tertakluk kepada waktu operasi bangunan tersebut

“Kerajaan dapat pelbagai permohonan daripada rakyat untuk beli makanan terutama melibatkan warga bujang. Sebelum ini operasi di kedai makan atau warung dihadkan sehingga 12 tengah malam atau mengikut syarat lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Ini bermakna kedai makanan boleh teruskan operasi sehingga waktu sahur dan orang ramai boleh bungkus makanan atau makan di kedai yang dibuka,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan PKP di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penganjuran majlis berbuka puasa dibenarkan seperti bufet Ramadan di hotel, restoran dan premis makanan dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Beliau berkata pramusaji dikehendaki menyendukkan makanan kepada pelanggan bagi hidangan secara bufet.

“Mengenai bilangan kehadiran bagi bufet Ramadan di kawasan PKPB dan PKPP, kita benarkan dengan syarat ada penjarakan fizikal antara pengunjung dan SOP kedudukan meja perlulah dua meter (jarak antara satu meja ke meja lain).

“Bagi majlis berbuka kita menggalakkan hidangan set ‘dome’, tapi kalau bufet mesti ada pramusaji untuk sendukkan makanan. Untuk majlis berbuka puasa di pejabat dan dewan, kapasiti 50 peratus daripada keluasan tempat bagi kawasan PKPB manakala 100 peratus di kawasan PKPP mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :