Penduduk memegang sepanduk tanda membantah penutupan laluan utama mereka dan menggesa pemaju Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menyediakan laluan keluar masuk yang selamat di Kondominium Puncak Banyan, Kuala Lumpur pada 2 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Prolintas: Penutupan laluan utama ke kondominium hanya sementara

SHAH ALAM, 3 APRIL: Penutupan laluan utama ke Kondominium Puncak Banyan, Alam Damai bersifat sementara sehingga kerja pengalihan kren gantri projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) selesai.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) selaku pemegang konsesi berkata kerja pengalihan dijangka siap sepenuhnya dalam masa seminggu dan penutupan laluan bertujuan memastikan keselamatan penduduk.

“SUKE dan kontraktor, Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd telah membuka satu lagi laluan khas dengan membina tangga di belakang blok A bagi kemudahan penduduk.

“Ini adalah laluan tambahan kepada laluan sedia ada yang terletak di blok B, Kondo Puncak Banyan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, makluman mengenai perkara itu sudah dijelaskan kepada wakil penduduk pada perjumpaan yang diadakan pada 25 Mac lalu.

Semalam, seramai 300 penghuni Kondominium Puncak Banyan membantah penutupan laluan utama ke kediaman mereka sejak 12 hari lepas.

Susulan itu, Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming yang mewakili penduduk menghantar petisyen kepada pemaju SUKE, Kementerian Kerja Raya dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Mengenai desakan supaya aspek keselamatan di tapak pembinaan ditingkatkan, Prolintas berkata SUKE menempatkan pengawal keselamatan di lokasi untuk membantu dan memantau kawasan sekitar 24 jam sehari.

Katanya, laluan pejalan kaki juga dibersihkan dan diperluas serta lampu limpah juga dipasang untuk keselesaan dan keselamatan penduduk.

“SUKE juga menyediakan khidmat van ulang-alik secara percuma dari jam 7 pagi hingga 9.45 malam selain bekerjasama dengan Universiti UCSI Kuala Lumpur untuk menyediakan tempat letak kereta tambahan kepada penduduk secara percuma.”

 


Pengarang :