AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Proses lulus pinjaman Hijrah seawal lima hari

AMPANG, 23 APRIL: Tempoh kelulusan pinjaman modal perniagaan melalui Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) kini dipercepat kepada lima hari bekerja.

Pengarah eksekutifnya berkata tempoh 14 hari yang diguna pakai ketika ini dianggap terlalu lama dan menyukarkan peniaga yang memerlukan bantuan kewangan.

“Saya sudah berbincang dengan pegawai dan beri cabaran kepada mereka yang saya tentukan bahawa lima hari bekerja siapa yang pinjam akan dapat.

Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor

“Kita tahu mereka perlukan kewangan, kalau 14 hari tidak membantu. Mulai dua minggu lagi kita akan pastikan lima hari kerja mereka akan dapat wang pinjaman,” kata Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah dan Iftar Hijrah Selangor di Kampung Pandan Dalam di sini semalam.

Sementara itu, ahli parlimen Pandan berharap Hijrah mempermudah proses pinjaman kepada peniaga wanita kerana ramai yang terkesan akibat Covid-19.

“Ramai wanita yang dibuang kerja dan mereka perlukan sesuatu untuk dijadikan pendapatan tambahan,” kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata soal bayaran balik tidak perlu dikhuatiri berikutan golongan itu paling gigih melunaskan pinjaman.

Hijrah yang ditubuhkan enam tahun lalu memberi modal mudah, cepat dan tidak membebankan peniaga kecil yang menghadapi kekangan kewangan.

Pada 10 Februari, Kerajaan Negeri melancarkan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) bagi membantu individu yang baharu menjalankan perniagaan dengan tawaran pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000.

 


Pengarang :