Dato’ Seri Amirudin Shari (enam, kanan) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melancarkan Jentera Pilihan Raya Negeri (JPRN) Selangor di Seksyen 13, Shah Alam pada 7 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pulangkan mandat rakyat, KEADILAN Selangor tumpu menang PRU15

SHAH ALAM, 8 APRIL: Matlamat memenangi pilihan raya dan mengembalikan mandat rakyat sentiasa menjadi fokus utama Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor.

Pengarah komunikasi negeri berkata usaha menjayakan agenda reformasi diperkukuh dengan pelancaran bilik gerakan utama untuk memastikan gerak kerja jentera yang lebih tersusun.

“Kita yakin jentera KEADILAN Selangor bersedia turun sebagai kesatuan bagi menyantuni dan memenangi undi rakyat negeri ini yang menjadikan Selangor sebagai kubu kuat sejak 2008,” kata Saifuddin Shafi dalam kenyataan.

Beliau turut berharap persediaan jentera meniup semangat anggota KEADILAN seluruh negara untuk mengatur langkah dan berpadu menuju kemenangan.

Jentera Pilihan Raya Negeri Selangor dilancarkan malam tadi di sini oleh Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pakatan Harapan negeri dijangka memuktamadkan agihan kerusi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada pertengahan bulan ini.

Amirudin berkata perbincangan bersama pimpinan DAP dan Amanah antara lain menumpukan kerusi Dewan Undangan Negeri yang sebelum ini ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.


Pengarang :