BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Quran ensiklopedia, fahami bahasa kitab suci (FOTO ESEI)

Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, disambut setiap tahun sebagai peristiwa Nuzul Quran. Sesuai dengan keagungannya, al-Quran menjadi sangat intim kepada seluruh umat Islam.

Mashaf Mufiq bukan sekadar tulisan tangan teks kitab suci ini, ia juga memuatkan ensiklopedia lengkap. Susunan teks ini merujuk format Mashaf al-Madinah.

Diterbitkan Yayasan Restu di Shah Alam, Mashaf Mufiq ditulis dengan jelas bersama terjemahan lafziyyah (bagi setiap kata) untuk memahami bahasa al-Quran.

Ia mempunyai warna yang memisahkan satu kalimah dengan kalimah yang lain dan dilengkapi terjemahan tafsir ringkas setiap ayat di tepi halaman.

Selain teks ini, Yayasan Restu yang berpejabat di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam juga menerbitkan Mashaf Istana Diraja Klang pada 2011.

Jurufoto Hafiz Othman meninjau proses penulisan teks Mashaf Mufiq di Yayasan Restu pada 8 April sebelum ke kilang percetakan Nasyrul Quran di Putrajaya pada 15 April.

 

Penyemak di kilang cetak memeriksa padanan warna sebelum halaman ayat dicetak. Warna setiap hukum tajwid dihasilkan berbeza bagi memudahkan pembacaan

 

 

Selain menggunakan kanta, kakitangan bahagian semakan memeriksa kandungan naskhah di atas kertas cetakan bersaiz 28 x 40 inci

 

Tanda bacaan, huruf dan warna diteliti menggunakan kanta bagi memudahkan penyemak mengesan kesalahan

 

Cetakan muka depan dibuat mengikut pilihan pelanggan. Corak dan ilustrasi dihasilkan Yayasan Restu

 

Halaman al-Quran disusun dengan teliti sebelum dijahit menggunakan benang putih bagi memastikan naskhah itu tidak mudah terlerai

 

Penulis khat menyiapkan nama pembeli di halaman awal Mashaf Mufiq seperti permintaan pelanggan

 

Pereka grafik Yayasan Restu melakukan kerja menekap ayat menggunakan perisian komputer bagi menghasilkan ilustrasi ayat-ayat suci kepada bentuk vektor

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Restu Datuk Asyaharim Abdul Latiff menunjukkan (dari kanan) Mashaf Diraja Klang, Mashaf Mufiq dan ensiklopedia Inilah Nabi Muhammad SAW

 

Asyaharim membaca Mashaf Istana Diraja Klang. Di sebelah kanannya, edisi Mashaf Mufiq


Pengarang :