Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) menyampaikan watikah perlantikan ketua kampung ketika program Jelajah Ramadan Kita Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Sepang pada 26 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rancangan Selangor Satu tumpu agenda pembangunan negeri

SEPANG, 27 APRIL: Rancangan Selangor Satu antara inisiatif baharu yang bakal dibentangkan pada sidang dewan negeri akan datang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pelan meliputi anggaran pembangunan projek yang disusun berdasarkan permintaan negeri melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Kita mahu laksanakan Rancangan Selangor Satu yang lebih meluas iaitu berhubung pelan projek, bajet dan anggaran pembangunan negeri ini dalam tempoh lima tahun.

“Jika Malaysia ada RMK12, kita ada Rancangan Selangor Satu. Kita tidak boleh semata-mata bergantung kepada persekutuan, sebaliknya perlu ada alternatif lain,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Penjawat Awam daerah Sepang dan penyampaian watikah pelantikan ketua kampung sempena Jelajah Ramadan Kita Selangor semalam.

Amirudin menjangka rancangan tersebut dibentang sekitar Jun atau Julai jika persidangan dibenarkan, bergantung kepada situasi semasa Covid-19.

Pada majlis tersebut, seramai 19 ketua kampung tradisi daerah Sepang dilantik termasuk empat lantikan baharu.

Sidang Dewan Negeri Selangor yang dijadual pada 22 Mac lalu terpaksa ditangguh susulan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan darurat.


Pengarang :