Kakitangan LZS bersama gadis mualaf yang ditempatkan di Rumah Bakti Al Kausar, Bangi pada 28 April 2021. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rela hati peluk Islam, gadis mualaf dibantu dapat didikan agama

SHAH ALAM, 28 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menempatkan seorang mualaf di rumah kebajikan berasrama untuk mendapat didikan agama dan arus perdana sebaiknya.

Agensi berkenaan dalam kenyataan berkata gadis berusia 15 tahun itu memeluk Islam secara rela hati dengan hadir ke Pejabat Agama Islam Hulu Langat bersama ibunya pada Mac lalu.

“Hari ini LZS bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membawa gadis ini ke Rumah Bakti Al Kausar Bangi yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor dan JKM.

“Mohon doakan kami agar dapat menyantuni dia sebaiknya dan doakan juga agar akidahnya terpelihara sehingga hujung nyawa,” kata institusi itu di Facebook.

LZS menjelaskan gadis tersebut dibesarkan dalam serba kekurangan dan keputusannya memeluk Islam mendapat tentangan adik-beradik yang lain.

“Dia hanya bersekolah hingga tahap sekolah rendah sahaja kerana kekurangan kewangan ibunya dan motivasi untuk bersekolah yang rendah dipengaruhi suasana sekeliling,” kata agensi itu lagi.

LZS mengagihkan bantuan zakat secara berkala bagi kelangsungan hidup golongan tersebut termasuk ketika musim perayaan.

Agensi itu turut menyediakan biasiswa buat mualaf yang ingin menyambung pengajian dalam pelbagai bidang ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, LZS juga menubuhkan Baitus Salam sejak 2019, khusus untuk menyediakan penempatan asnaf mualaf yang memerlukan.


Pengarang :