Anggota keselamatan melakukan pemeriksaan dokumen perjalanan rentas negeri di sekatan jalan raya (SJR) ketika tinjauan di Plaza Tol Bandar Ainsdale berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 13 Mac 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rentas negeri tujuan kerja, perubatan dan pendidikan dibenar Isnin hingga Khamis

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata pergerakan rentas negeri melibatkan ketiga-tiga kategori tidak dibenarkan pada hari Jumaat hingga Ahad.

“Polis mengambil serius peningkatan kes baharu Covid-19 sejak empat hari lepas. Usaha untuk mengekang penularan wabak itu telah diperketatkan polis.

“Ini tidak termasuk bagi urusan melibatkan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Acryl Sani berkata untuk rentas negeri bagi tujuan kecemasan dan kematian yang dibenarkan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak serta adik-beradik.

Beliau berkata pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis dan jamuan lain adalah dilarang.

“Aturan ini akan berterusan sehingga selepas Aidilfitri dan mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas,” katanya.

Mengulas ketidakpatuhan tatacara operasi piawai (SOP) oleh pengunjung bazar Ramadan dan pasar malam, Acryl Sani berkata semua Ketua Polis Daerah dan pasukan pemantau SOP akan digerakkan ke semua lokasi untuk membuat pemantauan.

“Sekiranya SOP tidak dipatuhi, polis akan mengemukakan saranan kepada Pihak Berkuasa Tempatan agar aktiviti perniagaan di kawasan terlibat dihentikan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :