Keadaan pokok tumbang di Jalan Pantai Permai berhampiran Pusat Komuniti Lembah Pantai dalam kejadian ribut dan hujan lebat pada 12 April 2021. Foto Facebook Fahmi Fadzil
AGENDANASIONAL

Ribut, hujan lebat sebabkan pokok tumbang sekitar ibu negara

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Hujan lebat dan ribut petir di ibu negara petang semalam mengakibatkan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur antara kawasan terlibat dalam kejadian dari 6.23 petang hingga 7.04 malam itu adalah Jalan Perkasa, Taman Maluri; Taman Rama-Rama Cendasari, Bukit Aman; Pondok Polis Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri; Taman Ikan Emas, Jalan Kaskas; Pangsapuri Indah Mas dan Taman Shamelin Perkasa.

Pokok tumbang turut menjejaskan laluan ke Stesen LRT Maluri menghala ke Stesen LRT Pandan Jaya.

“Kerja-kerja memotong pokok di laluan tersebut masih diteruskan dan para penumpang dikeluarkan oleh kakitangan LRT dan anggota bomba,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian di Jalan Perkasa, wanita berumur 33 tahun bersama empat anak berusia lapan hingga 13 tahun nyaris maut apabila rumah teres mereka dihempap pokok kira-kira 6.39 petang, namun semuanya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan di lokasi terbabit turut rosak akibat ditimpa pokok tumbang, namun tidak membabitkan mangsa,” menurut kenyataan itu malam tadi.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Pudu, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Cheras terlibat dalam tugas menyelamat selain memotong dan mengalihkan pokok tumbang di semua lokasi terjejas.

Sementara itu, Prasarana menerusi satu kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 13 pokok tumbang dan menimpa trek sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras yang terletak di atas tanah sehingga menyebabkan perkhidmatan LRT laluan Ampang dan Sri Petaling terjejas.

“Rapid KL memohon maaf atas gangguan perkhidmatan ini dan kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh pelanggan kami akibat gangguan berkenaan.

“Kerja-kerja mengeluar dan memindahkan penumpang mengambil masa lama atas faktor keselamatan kerana risiko yang dibawa oleh angin ribut, hujan dan petir pada masa itu,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut Prasarana, kerja mengeluarkan dan memindahkan penumpang selesai pada 10.20 malam tadi, namun kerja pembersihan dan pemeriksaan trek akan dijalankan sepanjang malam ini untuk tujuan keselamatan.

Penumpang yang terjejas boleh menuntut kupon bayaran balik di semua kaunter LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling.

-BERNAMA


Pengarang :