Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.1180/1230 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 20 APRIL: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari kedua berturut-turut pada Selasa, didorong harga minyak mentah yang stabil.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1180/1230 berbanding dolar AS daripada 4.1220/1250 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata walaupun dagangan minyak mentah mengalami turun naik pada akhir-akhir ini manakala prestasi dolar AS dilihat kekal dan dijangkakan meningkat lebih tinggi, ringgit pula mungkin terus bergelut susulan kecenderungan dagangannya dalam julat kecil baru-baru ini.

“Buat masa ini, asas ekonomi nampaknya menyokong dan pulangan ke atas bon AS mungkin dalam jajaran kecil, jadi, dolar menjadi lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang negara pesat membangun,” katanya kepada Bernama.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras, naik 0.04 peratus kepada US$67.08 setong.

Pada dagangan dibuka, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.9568/9645 daripada 4.9612/9661 ketika ditutup pada Isnin dan naik berbanding yen kepada 3.8063/8112 daripada 3.8145/8180.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0974/1030 daripada 3.0972/1001 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.7578/7652 daripada 5.7292/7350.

– BERNAMA


Pengarang :