AGENDAEKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.1220/1270 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Ringgit kekal dibuka tinggi berbanding dolar AS bagi hari kedua-dua berturut-turut pada Rabu apabila mata wang tempatan terus memperoleh daya tarikan susulan hasil pulangan ke atas bon Amerika Syarikat (AS) yang rendah.

Bagaimanapun harga minyak mentah yang rendah, yang kini didagangkan pada US$62.66 setong selepas susut 0.13 peratus, telah mengehadkan sokongan belian terhadap unit tempatan.

Pada 9.02 pagi, ringgit berada pada 4.1220/1270 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1330 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkara ringgit masih terkekang di antara faktor dorongan yang bersaing iaitu hasil ke atas bon AS yang rendah dan penurunan harga minyak mentah.

Beliau berkata bagaimanapun berikutan hasil pulangan ke atas bon AS yang tidak banyak berubah maka, harga bahan api yang memacu ringgit lebih tinggi mungkin tidak memberi impak ketara, sekali gus menyebabkan mata wang tempatan bergelut untuk meningkat lebih tinggi.

“Ini membimbangkan para pengeksport komoditi seperti Malaysia, kerana China juga meminta bank-bank mengawal pemberian pinjaman, yang akan melemahkan dorongan kredit China, justeru tidak menggalakkan ringgit kerana Malaysia mempunyai hubungan eksport yang kukuh dengan China,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.0791/0831 daripada 3.0791/0820 ketika ditutup pada Selasa namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7020/7093 daripada 5.7110/7168.

Unit tempatan susut berbanding yen kepada 3.7555/7607 daripada 3.7376/7406 dan rendah berbanding euro kepada 4.8928/9004 daripada 4.8775/8827.

– BERNAMA

 


Pengarang :