Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Ringgit didagang pada paras semasa minggu hadapan

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Ringgit dijangka didagangkan pada paras semasa minggu hadapan, di tengah-tengah sentimen pasaran yang bercampur-campur susulan pengaruh daripada perkembangan luaran dan kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19, kata seorang penganalisis.

“Saya berpendapat kita bergerak ke dalam keadaan keberkecualian untuk pertukaran asing (FX) dan pasaran bon … jadi, saya menjangkakan ringgit akan diniagakan dalam jajaran yang sama minggu hadapan antara paras 4.12 dan 4.14.

“Tetapi peniaga bimbang dengan aliran data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh yang seterusnya akan melonjakkan hasil bon AS dan berkemungkinan merencatkan sentimen kenaikan ringgit pada minggu tersebut,” kata Ketua Strategi Pasaran Global Stephen Innes kepada Bernama.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar US kepada 4.1250/1290 daripada 4.1330/1370 yang dicatatkan semasa minggu sebelum ini.

Ringgit adalah lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0929/0964 daripada 3.0800/0839 serta lemah berbanding yen Jepun kepada 3.7903/7943 daripada 3.7689/7733.

Ringgit menyusut berbanding pound British kepada 5.6834/6898 daripada 5.6618/6685 dan merosot berbanding euro kepada 4.9405/9465 daripada 4.9141/9205.

– BERNAMA


Pengarang :