Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka diniaga sekitar 4.1275-4.1475 minggu depan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam lingkungan 4.1275 hingga 4.1475 pada minggu depan ketika pasaran terus memantau perkembangan hasil Perbendaharaan AS dan pergerakan harga minyak.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata laporan terkini mengenai kenaikan inflasi di China pada Mac berikutan lonjakan kos komoditi, juga dijangka mempengaruhi prestasi ringgit.

“Pasaran juga mengharapkan China menangani aspek kreditnya yang berpotensi memberi impak negatif terhadap pengeksport komoditi seperti Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya, pasaran turut menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 6 Mei depan dan berkemungkinan menyaksikan Bank Negara Malaysia menyemak naik Kadar Dasar Semalaman yang akan memberi kesan terhadap minat pelabur asing terhadap bon.

“Peniaga tempatan juga dijangka memberi tumpuan terhadap indeks harga pengguna AS bagi Mac yang dijadual diumumkan pada 13 April depan,” katanya.

Dalam pada itu, setakat jam 8.05 malam waktu Malaysia pada Jumaat, harga minyak mentah Brent susut 0.25 peratus kepada US$63.04 setong.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit lebih mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.1330/1370 daripada 4.1380/1420 pada minggu sebelumnya.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0800/0839 daripada 3.0780/0816 minggu sebelum ini serta rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7689/7733 daripada 3.7455/7494.

Unit tempatan itu bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6618/6685 daripada 5.7241/7309 pada Jumaat lepas dan susut berbanding euro kepada 4.9141/9205 daripada 4.8733/8797 sebelum ini.

– BERNAMA


Pengarang :