AGENDANASIONAL

Ringgit turun 4.1280/1330 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Ringgit menyusut ketika dibuka untuk urus niaga pagi ini tetapi masih mampu bertahan pada paras 4.12 berbanding dolar AS.

Nilai ringgit lemah kerana kekurangan permintaan untuk unit tempatan itu berikutan peningkatan ketara kes Covid-19.

Malaysia melaporkan 2,148 kes baharu Covid-19 pada Khamis. Kali terakhir negara mencatatkan jumlah melepasi 2,000 ialah pada 5 Mac dengan 2,154 kes.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan itu merosot 50 mata asas kepada 4.1280/1330 berbanding dolar AS daripada 4.1230/1260 ketika mengakhiri urus niaga petang Khamis.

Bagaimanapun, kerugian nilai ringgit seterusnya telah disekat oleh kejatuhan hasil bon AS dan pengukuhan harga minyak mentah.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata hasil bon AS jatuh secara mengejut walaupun data jualan runcit AS menunjukkan angka memberangsangkan untuk bulan Mac 2021.

“Ini sangat baik untuk sentimen risiko dan pertukaran asing Asia, dan ringgit seharusnya dapat manfaat daripada penurunan hasil AS,” katanya kepada Bernama.

Innes menambah harga minyak mentah yang stabil dan tinggi dengan minyak penanda aras antarabangsa Brent kekal melepasi US$66.90 setong pada masa ini juga boleh menyokong prestasi mata wang tempatan.

Berbanding mata wang utama yang lain, ringgit diniagakan rendah kecuali berbanding euro.

Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0903/0952 daripada 3.0893/0923 pada Khamis, lebih rendah berbanding yen kepada 3.7945/8001 daripada 3.7906/7937 sementara berbanding pound, unit tempatan merosot kepada 5.6834/6907 daripada 5.6860/6906.

Unit tempatan bagaimanapun meningkat berbanding euro kepada 4.9358/9422 daripada 4.9381/9434 semalam.

– BERNAMA


Pengarang :