Datin Seri Masdiana Muhamad menamatkan larian 50 kilometer menerusi acara Malaysia Women Marathon 2021 di Bulatan Kecil Jalan Indah Taman Tasik, Shah Alam pada 12 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sahut cabaran hari wanita, YDP Pekawanis tamatkan larian 50km

SHAH ALAM, 14 APRIL: Yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berjaya menamatkan acara larian 50km secara maya pada 12 April lalu.

Datin Seri Masdiana Muhamad antara 1,200 peserta yang menyelesaikan misi melalui program MCIS Life Malaysia Women Marathon (MWM) 2021 dalam tempoh sebulan.

Isteri kepada Dato’ Menteri Besar Selangor ketika ditemui menjelaskan tekadnya menyertai acara itu sempena Hari Wanita Sedunia bertemakan #ChooseToChallenge.

“Saya mulakan larian secara berperingkat bermula dengan jarak dua kilometer dan sedikit demi sedikit meningkat kepada lapan kilometer selama 30 hari.

Datin Seri Masdiana Muhamad (berdiri, tiga dari kiri) bergambar selepas acara larian MCIS Life Malaysia Women Marathon 2021 di Bulatan Kecil Jalan Indah Taman Tasik, Shah Alam pada 12 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya mahu cabar diri saya selaras tema hari wanita tahun ini. Terima kasih atas sokongan suami (Dato’ Seri Amirudin Shari) dan anak-anak,” katanya ketika ditemui di Taman Tasik Shah Alam.

Masdiana menambah acara tersebut landasan terbaik untuk masyarakat melakukan aktiviti sihat meskipun ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19.

“Menariknya, program kali ini kita boleh pilih trek masing-masing, justeru saya pilih Taman Tasik Shah Alam sambil melihat tempat menarik sekitar sini,” katanya lagi.

Beliau turut menyarankan wanita khususnya untuk membiasakan diri dengan kehidupan norma baharu termasuk menyertai aktiviti sukan jika ada kelapangan.

Acara maraton wanita yang memasuki tahun kesembilan dijalankan secara maya sejak 8 Mac lalu selaras sambutan Hari Wanita Sedunia 2021.

Peserta boleh melakukan larian di mana sahaja menggunakan teknologi mudah alih bagi merekod jarak dan masa untuk dihantar kepada penganjur sepanjang program berlangsung.


Pengarang :