Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Bandar Baru Bangi pada 4 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Saringan bersasar di lokasi sama jika kes Covid-19 naik

BANGI, 4 APRIL: Program saringan bersasar percuma akan dibuat di kawasan sama jika berlaku peningkatan kes Covid-19, kata Selcare.

Koordinator Saringan Komuniti Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman berkata antara lokasi tumpuan ialah sekitar mukim Damansara di daerah Petaling.

“Kita sudah ada dalam perancangan dan ia bergantung kepada keputusan kajian yang akan ditentukan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor,” katanya pada program saringan di sini.

Beliau turut menjangka lebih 10,000 individu disaring sebelum Ramadan berdasarkan beberapa program ujian Covid-19 yang dijalankan setiap minggu.

“Hari ini kita adakan dua program saringan di Bangi dan Ampang, jumlahnya hampir 10,000 orang. Jadi, empat lagi program pada minggu hadapan jumlahnya akan lebih,” kata Abdul Hadri.

Sementara itu, katanya, belum ada keputusan sama ada program terbabit dibuat pada bulan puasa berikutan dibimbangi mengganggu urusan tarawih atau tiada sambutan.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara
percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program yang menyasarkan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.


Pengarang :