Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti secara percuma di Dewan Serbaguna MPAJ, Ampang pada 28 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Saringan percuma Covid-19 di Puncak Alam, Kajang esok

SHAH ALAM, 9 APRIL: Penduduk sekitar Bandar Puncak Alam dan Kajang digalak menjalani Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor, esok.

Dato’ Menteri Besar berkata program diadakan di Dewan MDKS Sinar Alam, Fasa 2, Bandar Puncak Alam dan gelanggang bola keranjang Taman Setia, Kajang serentak mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Penduduk yang tinggal sekitar Puncak Alam Fasa 3, Sinar Alam, Alam Suria, Taman Alam Jaya, Taman Alam Sutera, Alam Perdana, Saujana Utama dan Seri Pristina digalakkan hadir pada hari berkenaan.

“Sementara di Kajang, penduduk Kampung Sungai Chua, Kampung Baru Sungai Chua, Desa Kekwa, Taman Setia, Taman Berjaya, Pusat Perindustrian Sungai Chua dan Taman Kajang Raya digalakkan hadir,” maklum Dato’ Seri Amirudin Shari di facebook.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari screening.selangkah.my

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program yang menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Seramai 4,352 individu terlibat dalam program saringan setakat Februari yang turut membabitkan 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.

 


Pengarang :