Rodziah Ismail menyampaikan bantuan makanan kepada pemandu teksi di Dataran BBST Walk di Sepang pada 7 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGOKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sasar 200 pemandu teksi jadi penghantar barang sambilan

SHAH ALAM, 12 APRIL: Seramai 200 pemandu teksi di Selangor bakal menjadi perintis program menjana pendapatan tambahan sebagai penghantar barangan.

EXCO usahawan berkata peserta diberi pendedahan mengenai pendigitalan serta latihan menggunakan telefon bimbit untuk mengambil dan menghantar pesanan.

“Agensi di bawah Kerajaan Negeri seperti Hijrah Selangor dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) akan membantu pemandu teksi sehingga mahir.

“Kita bukan suruh berhenti jadi pemandu teksi tetapi menggalakkan mereka cari duit tambahan untuk mengubah hidup,” kata Rodziah Ismail ditemui selepas merasmikan program Selangor Fesyen Raya Lazada 2021 di SACC Mall semalam.

Beliau berkata khidmat penghantaran diperlukan kerana peniaga beralih menjual barangan secara dalam talian sejak perebakan Covid-19.

Pada 17 Mac, pengurus besar pembangunan Seldec berkata seramai 500 penghantar barangan diperlukan sepanjang Ramadan.

Mohd Fauzan Elham berkata pekerja tambahan diperlukan kerana Seldec bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) untuk menjual produk 1,500 peniaga.

Seldec turut menawarkan insentif RM200 kepada penghantar makanan yang berkhidmat sehingga hari terakhir Ramadan.


Pengarang :